Cokmar UMS

Cokmar

Cokmar adalah simbol kebesaran Universiti. Kepala Cokmar berbentuk glob mengandungi emblem negara Malaysia yang terletak di atas Jalur Gemilang. Ini menunjukkan kedudukan Universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang menjunjung misi dan visi negara yang berusaha memberikan pendidikan kepada semua warga negaranya. Pada cincin alas glob tertulis dalam aksara jawi perkataan Universiti Malaysia Sabah.

Badan Cokmar berbentuk batil yang berkaki dan bertutup serta terletak di atas tapak, mengandungi lambang negeri-negeri di Malaysia dan emblem Universiti Malaysia Sabah, manakala di bawah lambang UMS terdapat lambang flora kebanggaan negara iaitu Bunga Raya dan Bunga Rafflesia. Pada kaki dan tapak batil terdapat motif-motif seni masyarakat tempatan, iaitu motif pucuk rebung, motif geometri dan motif padi. Terdapat sembilan tangkai padi dan ini melambangkan UMS sebagai Universiti awam yang kesembilan di Malaysia

Kaki Cokmar berbentuk tongkat yang terbentuk daripada beberapa batang kecil yang disimpai serta dililit oleh pokok sireh menjalar yang melambangkan sekolah, pusat, institut dan unit yang bersatu teguh manakala simpai pula melambangkan statut, akta dan peraturan-peraturan yang menjadi panduan dan etika pengurusan, pentadbiran dan pendidikan. Sirih Emas yang melilit batang Cokmar melambangkan dinamisme program-program yang dijalankan di Universiti ini.

Motif Bumi di mana pokok ilmu itu mendapat tenaga melambangkan sains dan teknologi untuk hidup dan berkembang serta mendorong cita-cita murni. Di atas bumi terdapat lima mata pena yang melambangkan kekuatan dan keutuhan ilmu, dan setiap satu mata pena ini menjadi simbol keimanan, ketaqwaan, ketulusan budi, keikhlasan dan kesungguhan yang menjadi asas keilmuan dan panduan untuk mencapai kejayaan.

Main Menu